EPISOD 49 - KISAH ANAK PAK GAD BERNAMA FY
Dari rumah setinggan ke rumah banglo
FY pernah duduk boleh dikatakan semua jenis rumah yang ada. Bermula dengan rumah setinggan kepada rumah kuarters. Seterusnya rumah apartment, rumah teres dua tingkat, rumah teres tiga tingkat dan juga rumah banglo. Pengalaman yang berbeza antara satu dengan yang lain.
Begini kisahnya.
FY lahir di rumah sakit daerah Batu Pahat, Johor pada bulan Mei tahun 1970. Masa tu belum lagi dipanggil hospital. Nasib baik bukan bulan Mei 1969 kalau tak niaya jer sebab tahun tu berlaku tragedi 13 Mei.
Apapun bapa FY buat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur setelah mendapat kerja sebagai pengawal keselamatan di Universiti Malaya.
Pada masa itu FY tinggal di rumah setinggan di Pantai Dalam. Tandas berada di luar rumah dan dikongsi dengan kejiranan sekitar. Macam cerita P. Ramlee tu. Kalau nak pergi buang air besar malam-malam tu amatlah menakutkan.
Masa tu pakai lampu gasolin. Malam-malam kena pam nak hidupkan lampu. Malam yang sentiasa malap. Nak tengok TV kena pergi rumah landlord sebab rumah mereka sahaja yang ada TV. Gambar hitam putih. Layan cerita Combat, High Chapparal, Moby Dick dll.
1978
Bapa FY dapat rumah kuarters Pengawal dua bilik di Kampung Awal dalam Universiti Malaya. Cuma ada 100 buah rumah sahaja di sini. Boleh dikatakan semuanya pengawal. Penduduk sekitar 400 ke 500 orang.
Enjoy jugak semasa membesar di sini. Bersekolah, belajar mengaji, belajar main bolasepak, badminton, berbasikal dan sebagainya. Main badminton dalam dewan badminton di Kolej Kedua. Jangan main-main. Bulu tangkis cari jer dalam tong sampah sebab ada yang membuangnya. Raket pinjam kawan-kawan. Raket murah dan berat!
Masa tu FY bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad Petaling Jaya dalam 5 km berjalan kaki setiap hari. Kalau sekarang FY nak jalan kaki sejauh itu lelah jugak rasanya. Saiful Apek tu senior FY, satu kelas dengan abang FY.
Di sinilah FY tinggal sehingga umur 27 tahun. Rezeki arwah bapa FY setakat di situ tinggal di rumah quarters di Universiti Malaya. Setakat itu jugalah rumah perlindungan yang dapat dia sediakan buat FY. Alhamdulillah, FY bersyukur.
1997
FY berkahwin. Sejak berkahwin FY pindah ke rumah pangsapuri kos rendah tiga bilik di Shah Alam milik ibu FY. Masa tu FY dan isteri masing-masing bekerja di Affin Bank Wisma SPK, Jalan Sultan Ismail. Naik motor kapcai dari Shah Alam ke Kuala Lumpur setiap hari dalam panas dan hujan. Satu perjalanan yang panjang. Pada tahun yang sama cahayamata FY yang pertama dilahirkan.
Kami di sini tak lama cuma setahun kerana kami ambil keputusan untuk membeli apartmen sendiri di Pandan Indah. Inilah rumah pertama kami dan di sini bermulalah kehidupan kami secara berdikari melepaskan diri dari pergantungan kepada ibubapa.
Di sini pula masalah utama ialah parking kereta. Kereta begitu banyak tapi parking tidak mencukupi. Jadi terpaksalah double parking dengan syarat hand brake dilepaskan. Di sini jugalah motor kapcai FY dicuri. Kami menetap di sini selama 5 tahun.
2003
Kami beli rumah teres 2 tingkat di Nilai. Oleh kerana harga rumah di Kuala Lumpur mahal jadi setelah berdiskusi kami mengambil keputusan untuk membeli rumah di Nilai. Negeri Sembilan. Kawan-kawan FY pada masa itu ada yang membeli di Sungai Buaya, Kota Kemuning, Puncak Alam, Bandar Seri Putra dll yang semuanya merupakan pembangunan di luar Kuala Lumpur kerana harganya yang jauh lebih murah.
Inilah kali pertama FY dapat rasa keselesaan rumah teres 2 tingkat. Alhamdulillah. Boleh parking kereta kat depan rumah dan petang-petang boleh cuci kereta tu

. Namun demikian perjalanan ke tempat kerja lebih 50 km. Pagi keluar malam baru balik. Masa tu FY bekerja di Kenanga Investment Bank cawangan Petaling Jaya. Naik motor.
Komuniti di sini umur dan statusnya lebih kurang sama. Jadi kami dapat bergaul dengan baik dan harmoni antara semua kaum yang ada. Kemudian jemaah surau dan jawatankuasa penduduk juga aktif dan baik-baik belaka. Keadaan di sini selamat dan kondusif untuk membesarkan anak-anak. Pada masa itu anak FY dah masuk 3 orang.
2016
Anak dah masuk 6 orang. Alhamdulillah. Rezeki bertambah murah. Masa ni FY dah jadi top performing remisier di Kenanga, jadi speaker Invest Smart Suruhanjaya Sekuriti dan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia. Masih menulis buku motivasi dan novel umum.
Jadi kami mengambil keputusan untuk membeli rumah yang lebih selesa memandangkan ahli keluarga FY dah 8 orang. Akhirnya kami membeli rumah teres tiga tingkat dalam kejiranan yang sama juga. Ini kerana anak-anak FY sudah biasa dengan kejiranan di sini dan begitu juga halnya dengan persekolahan. Kalau FY beli di tempat lain maka FY kena tukarkan sekolah mereka dan sebagainya yang pasti akan menyusahkan.
Rumah tersebut pastinya lebih selesa. FY juga suka pembangunan di Nilai. Dari sebuah pekan kecil ia menjadi sebuah bandar. Bandar yang punya semua kemudahan dan prasarana. Bandar yang dulu senyap la ni dah mula jem.

Apa yang penting ia tak ada masalah elektrik, air mahupun banjir. Alhamdulillah.
2021
Mak FY pula direzekikan Allah SWT untuk naik pangkat dari rumah pangsapuri ke rumah teres hyperlink di Alam Impian apabila FY mengambil keputusan untuk membelinya. Dapatlah dia menetap di sana dengan lebih selesa. Alhamdulillah.
Pada masa yang sama FY pula direzekikan Allah SWT untuk membeli sebuah rumah banglo di Ampang, Ulu Kelang. Pada FY inilah rumah pencen FY. Kalau orang lain nak pencen balik kampung, FY pula nak pencen balik bandar.
Ia kawasan kejiranan gated n guarded. Cuma ada 118 buah rumah sahaja yang ada di situ. Semuanya banglo belaka. Kawasan T20. Anak Pak Gad tinggal di kejiranan T20? Hurm. Nampaknya kenalah FY biasakan diri.
Isteri dan anak-anak FY beruntung kerana FY dengan izin Allah SWT menjadi asbab menyediakan tempat perlindungan, pakaian, makanan dan kenderaan yang baik buat mereka. Itulah rezeki mereka hingga saat ini. Rezeki mereka sendiri setelah mereka berdikari FY tak tahu. Untung ayam nampak di kaki, untung manusia tak siapa tahu.
Kesimpulannya ada perbezaan yang ketara antara tinggal di rumah setinggan vs rumah pangsapuri vs rumah teres vs di rumah banglo dan sebagainya. Statusnya berbeza, mentalitinya berbeza, ideologinya berbeza dll. Rumah setinggan kita banyak bergaul tapi rumah banglo kita lebih sendiri-sendiri. Rumah murah banyak mat rempit dengan pelbagai isu sosial tapi rumah mahal isunya lain pula.
Ada orang tinggal di rumah setinggan dan terus tinggal di rumah setinggan, Ada orang dapat beli rumah tapi ada yang masih menyewa, ada orang tinggal di rumah flat naik ke rumah teres, ada orang lahir di rumah banglo tapi turun pangkat ke rumah kondo dan sebagainya. Begitulah rezeki masing-masing.
Dalam hal ini tak kisahlah kita berada di mana jua atau apa jenis rumah sekalipun. Apa yang penting ialah kita hidup keadaan serba mencukupi, tenang dan bahagia. Dimana kita tinggal bukanlah alasan untuk kita bersedih dan berduka. Teruskan usaha dan bersyukur dengan apa yang ada kerana pastinya di luar sana ada orang yang lebih susah dari kita.
Begitulah ceritanya. Pengalaman FY tinggal dari rumah setinggan ke rumah banglo. Ini menyebabkan FY boleh jer cerita pasal kisah nak upgrade Y15 dan pada masa yang sama FY juga boleh cerita pasal nak makan wagyu, angus mahupun kobe beef. Tengoklah dengan siapa FY berbicara.
Pengalaman FY ini yang hanya dilalui oleh segelintir orang sahaja dan FY bersyukur dapat menceritakannya di sini.
Haji FY
Penulis 12 buah buku umum dan motivasi.
PS - Nak tahu macamana nak kaya dan berjaya? Follow jer FY sosial media, WA, Tik Tok, IG, FB, Youtube dll atas nama Faizal Yusup atau Minda Akhirat InsyaAllah FY akan kongsikan ilmunya.
No comments:
Post a Comment