EPISOD 48 - KISAH ANAK PAK GAD BERNAMA FY
Episod anak ke 3 FY
Alhamdulillah FY dikurniakan dengan enam orang cahaya mata yang cantik paras rupa dan sempurna sifatnya. Lima puteri dan satu putera.
Semasa di sekolah rendah pelajarannya baik dan dia berjaya masuk sekolah King George V di Seremban. Duduk asrama dan mula bermain ragbi. Sekolah ini memang terkenal dengan sukan ragbinya.
Sejak itu pelajarannya mula merosot. Menjelang tingkatan 3 keputusan C dan D mula kelihatan dalam report cardnya. Alamak! Satu tindakan proaktif perlu dilakukan bagi menyelamatkan keadaan. Keputusan sebegini tak memadai untuk dia menyambung pelajarannya ke peringkat Universiti.
Dari segi statistik 94% ibubapa ingin anak mereka sambung belajar di Universiti. Namun dewasa ini atas pelbagai kekangan dan alasan menyebabkan ramai juga anak-anak muda yang tak sambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Pada masa yang sama, ada juga ibubapa yang inginkan keputusan straight A’s untuk anak-anak mereka. FY asal anak FY dapat A dan B masih boleh diterima sebabnya FY pun bukan pelajar straight A’s namun masih boleh berjaya. Kemudian tak kurang juga ibubapa yang tak ambil peduli akan aspek akademik anak-anak mereka. Hurmm…
Anak lelaki FY seorang sahaja jadi nak tak nak FY kena usahakan dia untuk dia naik ke tahap yang lebih tinggi. Dia kena kuat dan kena jaga adik beradik perempuannya. Itu pandangan FY.
Jadi pertamanya FY keluarkan dia dari asrama, berhentikan dia dari main ragbi, dan rampas semua gajet. Kemudian masukkan dia ke kelas tuisyen dan tak cukup dengan itu ambil tutor untuk mata pelajarannya yang lemah.
Kalau boleh FY nak dia ikut jejak langkah FY untuk ambil diploma dan ijazah dalam bidang pelaburan. Pada masa itu jiwa remajanya memberontak kerana dia tak faham dan bengang dengan tindakan bapanya ini.
Alhamdulillah. Dengan izin Allah SWT usaha yang mengambil masa 2 tahun ini berjaya. Dia mendapat kelulusan SPM yang cukup baik hingga membolehkan dia menyambung pelajaran dan diterima untuk mengikuti kursus Diploma Analisa Pelaburan di UITM Segamat dengan keizinan Allah SWT.
Rupanya-rupanya kalau tahun 1990 an di zaman FY dahulu hanya ada 1 kelas DIIA di seluruh UITM. La ni ada 7 kelas DIIA di kampus Segamat sahaja. Tak masuk di kampus UITM yang lain. Nampaknya semakin ramai anak remaja zaman ini yang sukakan kursus pelaburan ini. Malah ramai yang lulus cemerlang dalam SPM juga memohon untuk mengikuti kursus ini.
Di sini barulah dia sedar yang tindakan bapanya ini adalah tindakan yang baik bagi menjamin masa depannya. Sejak itu dia fokus dan lulus dengan baik di peringkat Diploma dan sekarang dia dalam tahun akhir menghabiskan pelajarannya di peringkat ijazah di UiTM Bandaraya Melaka.
Atas kelulusannya yang baik di peringkat diploma maka FY hadiahkan dia dengan sebuah kereta berjenama H.
Semoga dia menjadi anak yang soleh yang berjaya di dunia dan di akhirat. Amiinn… InsyaAllah.
Kesimpulan dari kisah ini ialah kita ibubapalah yang mewarnai hamparan kain putih anak-anak kita itu. Kalau kita tak berbuat demikian maka hamparan kain putih itu boleh jadi comot dan kotor kerana dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang tidak diingini. Kita kena sentiasa peka, prihatin dan bersifat proaktif untuk memastikan yang mereka tidak melencong, hanyut lantas merosakkan masa depan mereka.
Haji Faizal Yusup
No comments:
Post a Comment