Sunday, August 15, 2021

EPISOD 3 - KISAH ANAK PAK GAD BERNAMA FY

EPISOD 3 - KISAH ANAK PAK GAD BERNAMA FY

Kenapa FY suka membantu...

Diari FY 31 Mei 1986

FY tingkatan 4 masa tu balik dari Sekolah Menengah Teknik KL. Naik bas Tong Fong no 123 sampai ke Cahaya Suria berdekatan Kota Raya... Dari situ menapak ke Kota Raya untuk menaiki bas Sri Jaya ke Kg Kerinchi. Menanti bas no 238 yang menghala ke Petaling Jaya. Kalau nasib baik dapat bas no 40 terus ke Universiti Malaya.

Hari itu agak lewat malam kerana balik sekolah FY ke library di Pusat Islam kemudian melepak dan makan malam di Central Market.

Nasib baik Bas Sri Jaya bernombor 40 sampai. Bas ini selalunya tak ramai orang yang naik kerana ia menuju masuk ke UM. FY tinggal di kuarters pengawal di Kampung Awal. Dalam UM.

FY naik dan duduk di belakang sekali. Naik sama seorang nenek tua membawa sebungkus mungkin dalam 15 ke 20 biji limau oren duduk di kerusi selang dua tiga kerusi depan FY. Pada zaman itu pintu bas jenis yang terbuka tidak ditutup seperti sekarang.

Cuma ada 3 ke 4 orang penumpang malam itu. 

Entah kenapa malam itu bas tersebut dipandu laju. Mungkin pemandunya dah nak habis shif untuk pulang ke rumah.

Keluar Bas Stand Klang ia masuk ke dalam Federal Highway dan ketika ia membelok ganas berhampiran Istana Negara, buah limau nenek tersebut jatuh dan bergolekan di dalam bas tersebut dari kiri ke kanan dan sebaliknya hingga ada yang terjatuh keluar bas.

Nenek tersebut merangkak cuba mengutip buah buah tersebut di dalam bas tersebut. Penumpang yang lain menoleh dan memandang namun langsung tidak menghulur bantuan... Ketika itu FY 16 tahun. Budak bodoh yang juga memandang kepayahan nenek tersebut mengutip buah buah oren yang berkeliaran bergolekan di dalam bas tersebut. Merangkak dan terus merangkak serta masuk ke celah tempat duduk penumpang cuba mendapatkan buah tersebut. Dapatlah dua biji berjaya dimasukkan ke dalam beg plastik itu kembali. 

Begitulah senarionya sepanjang perjalanan hingga sampai ke Bangsar. FY si bangang hanya terpaku di tempat duduk. Limau oren yang melintas di kakinya juga tidak dikutipnya.

Di Kg Abdullah Hukum nenek itu menekan loceng untuk turun. Adalah 5 biji limau yang dapat dipungutnya. Selebihnya samaada jatuh ke luar bas atau masih berselerak di penjuru penjuru di dalam bas tersebut.

Kekecewaan dan kesedihan terpancar di wajah nenek tua itu. Matanya berkaca-kaca... Dia melangkah longlai turun dari bas tersebut.

Rasa bersalah mula menerjah setiap pelusuk sanubari anak remaja bernama FY itu. Kenapa dia hanya duduk memandang? Kenapa dia tidak membantu sedangkan kudratnya masih muda dan utuh. Kenapa dia tak suruh pemandu bas itu berhenti seketika? Pelbagai persoalan bermain di relung hatinya...

Turun di Kolej Pertama Universiti Malaya. Dia terjelupuk terus terduduk. Airmatanya remajanya bergenangan jatuh. Kekesalan demi kekesalan menerjah jiwanya...

Dari detik itu, dari saat itu dia bertekad dan membulatkan azam untuk membantu sesiapa sahaja dalam kesusahan selagi dia terdaya berbuat demikian...

Dan semenjak itu remaja itu membesar dan membantu dan terus membantu kemalangan, kesakitan, kesulitan atau apapun juga namun kekesalan dari peristiwa malam 31 Mei 1986 itu masih menghantui dirinya...😭😭😭 

Semoga kisah ini membawa iktibar kepada sesiapa sahaja yang dijodohkan dengannya.

Nukilan 

FY Al Haj

Berikut adalah blog-blog dan link manfaat FY yang lain;

Untuk mendapatkan input pelaburan saham layari -

Novel paling best pernah anda baca Trilogi Man Rempit 1 secara percuma layari -

Novel paling best pernah anda baca Trilogi Man Rempit 2 secara percuma layari - 

Kisah anak Pak Gad bernama FY layari -

Ingin dapatkan pengisian motivasi bersama FY? Layari -

Ingin baiki diri ke arah Minda Akhirat? Layari -

Ikuti FY di Youtube 

Ikuti FY di Facebook

No comments:

Post a Comment

EPISOD 1 - KISAH ANAK PAK GAD BERNAMA FY

EPISOD 1 - KISAH ANAK PAK GAD BERNAMA FY  Entah kenapa teringat kisah kehidupan FY dulu...  1971  Pindah dari Segamat, Johor ke rumah seting...